Thursday, November 5, 2009

KESAN PEMANASAN GLOBAL

RAMAI mengeluh cuaca sekarang semakin panas. Kepanasan matahari semakin terik terutama pada tengah hari.Mereka turut mengaitkan kemungkinan kepanasan itu balasan kepada manusia kerana sering melakukan kerosakan di muka bumi.Pandangannya itu mungkin benar dan tidak tetapi apa yang nyata kerosakan yang dilakukan manusia ke atas bumi memang tidak dapat dinafikan sejak berabad lalu.

Penebangan hutan secara tidak terkawal, pencemaran industri, penggunaan bahan bakar fosil secara berleluasa dan pelepasan gas rumah hijau antara contoh ‘kerosakan’ yang dilakukan manusia hingga memberi kesan terhadap bumi.Berdasarkan laporan Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC), suhu dunia diramal meningkat daripada 1.1 darjah Selsius kepada 6.4 darjah Selsius antara 1990 dan 2100. Jika ramalan itu menjadi kenyataan, bumi akan semakin panas dalam tempoh seabad lagi dan mungkin tidak selamat lagi.

Ini berikutan pemanasan global mempunyai banyak kaitan dengan pelbagai bencana alam. Kenaikan suhu itu boleh mencairkan ais di kutub dan meningkatkan paras air laut.Risiko banjir besar boleh berlaku jika perkara itu berlaku, malah beberapa kepulauan kecil boleh tenggelam. Beberapa kawasan lain yang beriklim panas pula menerima taburan hujan yang banyak tetapi tanah di situ menjadi lebih cepat kering disebabkan penyejatan air yang berlaku dengan cepat.Kerosakan akan berlaku ke atas tanaman dan haiwan menyebabkan bekalan makanan berkurangan di beberapa tempat di dunia.Akhbar melaporkan kajian terbaru IPCC mendapati suhu purata Malaysia dianggarkan meningkat antara 0.6 darjah Selsius hingga 4.5 darjah Selsius menjelang 2060.Kajian itu turut menyebut kawasan pantai dan penempatan seluas 1,200 kilometer persegi akan tenggelam jika langkah pencegahan awal diabaikan berikutan pemanasan global yang menyebabkan peningkatan paras laut.

Dalam ucapan perasmian Forum Kesan Pemanasan Global Ke atas Strategi Pengairan di Malaysia, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid, dilaporkan berkata secara kasar, senario pemanasan global dijangka meningkatkan suhu 4.5 darjah Selsius dengan pengurangan 10 peratus hujan sekali gus mengurangkan kadar penerimaan air antara 13 peratus dalam musim tengkujuh dan 53 peratus musim kemarau.“Peningkatan aras laut pula mampu menghasilkan gelombang ganas yang mengancam garis pantai dan struktur hakisan pantai, pemusnahan zon penampan paya bakau yang mengakibatkan kerosakan habitat asli serta kehidupan akuatik seperti ketam, ikan, udang, flora dan fauna.“Cendekiawan juga menganggarkan lebih ramai orang akan terkena penyakit atau mati kerana tekanan cuaca panas dengan wabak penyakit yang biasa ditemui di daerah tropika seperti disebabkan nyamuk atau haiwan pembawa penyakit lain,” katanya.

Kebimbangan sama turut disuarakan Pengarah Hal Ehwal Iklim Universiti Malaya (UMCCA), Profesor Dr Khairulmaini Osman Salleh, ketika membentangkan kertas kerja Fenomena El Nino di Masjid Kariah Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.Beliau berkata, suhu bumi yang kian meningkat mengakibatkan kehidupan menghadapi satu ancaman besar berikutan berlakunya bencana alam lebih kerap dengan tempoh semakin meluas.Menurutnya, sebanyak 95 peratus punca suhu bumi yang semakin meningkat itu mempunyai kaitan dengan aktiviti manusia, terutama membabitkan penggunaan bahan bakar fosil.“Sejak 10 tahun kebelakangan ini, manusia semakin terancam berikutan bencana kerap berlaku. Taufan, banjir, kemarau dan wabak penyakit berkaitan alam sekitar semakin kerap dan ancamannya bertambah meluas.“Senario pemanasan global turut menggiatkan kesan El Nino, terutama membabitkan kejadian kemarau dan banjir. El Nino akan mempengaruhi iklim dunia mengakibatkan sesetengah tempat kemarau manakala sesetengah lagi banjir,” katanya.

Beliau berkata, El Nino merujuk kepada pemanasan tempatan di pinggir Peru dan Equador di Amerika Selatan serta perubahan suhu permukaan laut di Lautan Pasifik Khatulistiwa.“El Nino berlaku dalam selangan tiga ke tujuh tahun apabila suhu permukaan laut di bahagian barat Lautan Pasifik jatuh beberapa darjah Selsius manakala di timur Lautan Pasifik naik beberapa darjah Selsius. Tempoh berlaku El Nino antara 12 hingga 18 bulan merangkumi permulaan, pertumbuhan, kematangan dan kereputan.“Kejadian itu adalah peristiwa semula jadi di Lautan Pasifik dan kebiasaannya selepas El Nino, La Nina atau musim sejuk atau musim biasa akan datang,” katanya yang juga Profesor Jabatan Geografi Universiti Malaya.El Nino yang berlaku pada 1997 dan 1998 dikatakan paling besar pada kurun ke-20 apabila suhu permukaan lautan naik lima hingga enam darjah Selsius.

“Pada 2006, El Nino tidak kuat, bagaimanapun ia bukan bermakna kejadian lebih besar tidak boleh berlaku tetapi kita tidak tahu bila masanya kerana teknologi sekarang hanya mampu meramal untuk jangka masa pendek.“Lebih membimbangkan, trend kejadian El Nino sejak 50 tahun kebelakangan ini menunjukkan sifat peningkatan suhu permukaan laut,” katanya.Dr Khairulmaini berkata, pengkaji juga bimbang dengan pola kejadian El Nino yang semakin bertambah kuat dan tidak dapat menjangkakan bila ia akan berlaku.Menurutnya, berdasarkan maklumat terkini, ramalan mendapati kekuatan El Nino menurun sehingga lewat Mac ini saja.“Selepas itu kita tidak tahu, mungkin ia seteruk 1997 atau lebih buruk lagi kerana senario kepanasan bumi yang semakin meningkat. Peristiwa semula jadi itu akan memberi kesan kepada kesihatan, pertanian, perhutanan, sumber air, pinggir laut dan ekosistem serta habitat,” katanya.

Menurutnya, kesedaran mengenai ancaman itu perlu disampaikan kepada masyarakat supaya mereka bersedia dan dapat bertindak berdasarkan keadaan tertentu.“Masyarakat perlu diingatkan supaya berhati-hati dan bersedia menerima kesan El Nino. Masalah komunikasi dan tindakan susulan perlu diatasi agar orang ramai sedar dan mampu bertindak jika berada dalam situasi tertentu,” katanya.

APAKAH KESAN PEMANASAN GLOBAL TERHADAP ARAS LAUTAN

Kita telah melihat purata kejatuhan hanya lima darjah celcius dalam masa seribu tahun boleh menyebabkan era ais, jadi apa yang berlaku jika suhu Bumi secara purata meningkat beberapa darjah dalam tempoh beberapa ratus tahun.

Tidak terdapat jawapan yang jelas mengenainya.Malah ramalan cuaca jangka pendek tidak pernah tepat kerana iklim adalah fenomena kompleks.Apabila ia melibatkan ramalan jangka panjang, kita perlu berlandaskan pengetahuan bentuk iklim menerusi sejarah.
Glasier dan bongkah ais seluruh dunia sedang dan kehilangan kawasan air yang luas boleh mempercepatkan pemanasan global kerana kurangnya tenaga matahari yang boleh dipantulkan dari Bumi.Jesteru aras laut akan meningkat serta merta dan biasanya peningkatan hanya satu atau dua inci.Peningkatan biasa biasanya menyebabkan masalah banjir bagi kawasan pantai yang rendah.

Bagaimanapun jika bongkah ais Antartika Barat mencair dan tumbang kedalam lautan ia akan meningkatkan aras lautan sehingga 10 meter dan banyak kawasan pantai akan hilang di bawah lautan.Diramalkan aras lautan akan meningkat 17 sentimeter menjelang abad ke 20.Saintis meramalkan aras laut akan terus meningkat sehingga abad ke-21 dengan peningkatan antara tujuh hingga 22 inci menjelang 2100.

Sumber: estidotmy 24 Jun 2009,Utusan Malaysia.

PEMANASAN GLOBAL

Pemanasan global
Secara umumnya suhu purata Bumi tidak begitu stabil, malah berubah mengikut masa, seperti yang telah dibuktikan melalui analisis lapisan geologi. Planet kita adalah beberapa puluh darjah lebih sejuk pada 20 000 tahun yang lepas, iaitu pada puncak zaman salji glasier. Perubahan suhu ini sebenarnya amat perlahan, suhu berubah sebanyak 0.2 darjah dari tahun 1000 sehingga hujung kurun ke-19.

Fakta yang merisaukan komuniti antarabangsa ialah betapa cepatnya suhu berubah sekarang ini, kecepatan perubahan yang tidak pernah berlaku di zaman dahulu. Sejak hujung kurun ke-19, lebih kurang dalam seratus tahun saja, suhu purata telah naik 0.6 darjah. Simulasi komputer pula menunjukkan bahawa pemanasan akan menjadi lebih cepat dan suhu purata boleh meningkat sebanyak 1.4 hingga 5.8 darjah pada hujung kurun ke-21. Fenomena ini kita panggil pemanasan global.

Kesan rumah hijau
Variasi suhu atmosfera secara umumnya berkaitan dengan beberapa faktor seperti perubahan aktiviti Matahari, atau kelajuan putaran Bumi. Tetapi, kebanyakan pakar-pakar sains percaya bahawa pemanasan global adalah disebabkan, terutamanya, oleh kesan rumah hijau. Kesan ini terjadi apabila sebahagian besar tenaga dari Matahari yang sampai kepermukaan Bumi tidak dipantulkan semula keluar ke angkasa lepas, malah diserapi oleh atmosfera kita.

Seperti yang telah kita dapati, menurut hukum Wien, sifat sinaran dari satu objek bergantung kepada suhunya. Matahari yang mempunya suhu permukaan 6000 darjah, bersinar terutamamya didalam gelombang tampak dimana tenaganya masuk secara mudahnya ke atmosfera kita. Tetapi, disebabkan suhu Bumi jauh lebih rendah dari suhu Matahari, planet kita mengeluarkan kembali tenaga ini dalam bentuk sinaran inframerah. Gas-gas tertentu seperti karbon-dioksida, methane dan nitrogen oksida, yang juga lutsinar dalam gelombang tampak, adalah legap dalam sinaran inframerah. Ciri-ciri mereka ini menghalang tenaga dari keluar semula keangkasa lepas. Mereka menyerap tenaga tersebut menjadikan atmosfera kita panas. Sebahagian besar tenaga solar ini diserap oleh atmosfera bawahan,seperti yang terjadi keatas planet Zuhrah.

Besar kemungkinan kesan rumah hijau dan pemanasan global ini, yang mencepat sejak kurun ke-19, berpunca dari kesan aktiviti manusia keatas alam sekitar. Kebanyakan gas yang mempunyai ciri-ciri kesan rumah hijau telah dilepaskan ke atmosfera melalui aktiviti-aktiviti moden yang menggunakan fossil fuel di dalam industri dan kenderaan. Ia juga boleh disebabkan oleh aktiviti agrikultur tertentu seperti ternakan lembu. Kita jangka bahawa gas karbon-dioksida telah dinaikkan sebanyak 30 peratus sejak bermulanya era industri, iaitu satu sumbangan besar yang memburukkan kesan rumah hijau.Aletsch Sejak 150 tahun yang lepas, glasier di banjaran gunung Alps, seperti glasier Aletsch di Switzerland, telah hilang separuh jisimnya. Kredit : O. Esslinger

Sejak 150 tahun yang lepas, glasier di banjaran gunung Alps, seperti glasier Aletsch di Switzerland, telah hilang separuh jisimnya. Kredit: O. Esslinger

Kesan dari pemanasan global
Seperti yang telah ditunjukkan, pemanasan global menyebabkan glasier mencair dan tahap air laut meningkat sebanyak beberapa puluh sentimeter. Ketebalan ais di kutub juga menjadi kurang. Sejak kurun ke-21, fenomena ini meningkat semakin cepat, dimana kesannya kelihatan semakin ketara, terutamanya peningkatan tahap air laut dan perubahan cuaca secara ekstrim yang melibatkan kemarau dan kitaran presipitasi yang dahsyat.

Kesan ini dapat dirasai oleh manusia dengan kekerapan banjir, kemarau panjang, kekurangan air minuman, sebaran penyakit malaria, kekurangan zon tepi laut atau kekurangan bilangan pulau. Dalam jangkamasa yang panjang, dengan pencairan ais di Greenland yang menyebabkan tahap air laut naik sebanyak 6 meter, kita dapat meramalkan kehilangan sebahagian besar zon tepi laut dunia.

Dihadapkan dengan ancaman tersebut dan keperluan usaha untuk menangani masalah ini, komuniti antarabangsa didapati agak segan. Protokol Kyoto telah dirundingkan dalam tahun 1997 bertujuan untuk memaksa negara industri untuk mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mengurangkan pencemaran udara yang memburukkan kesan rumah hijau. Hasil dari keputusan Russia untuk menyertai protokol ini, usaha ini ada peluang untuk membawa hasil. Tetapi, tanpa penyertaan Amerika Syarikat, yang buat masa ini merupakan pencemar udara terbesar di dunia, hasil usahan dari protokol ini agak terhad. Disebabkan perjanjian ini tidak begitu ambitious, kami percaya ia tidak begitu mampu untuk melambatkan pemanasan global dengan berkesan. Oleh yang demikian, bencana yang amat dahsyat masih mengancam.